X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Kerajaan digesa atasi isu kenaikan harga barangan pembinaan

DPPM Putrajaya menggesa kerajaan agar mengatasi isu kenaikan harga barangan pembinaan. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Putrajaya (DPPM Putrajaya) menggesa kerajaan agar mengatasi isu kenaikan harga barangan pembinaan di negara ini.

Setiausahanya, Kamarulzaman Mohamad berkata, kerajaan perlu segera melihat isu yang dihadapi oleh kontraktor gred G1 sehingga G7 yang kebanyakannya mengeluh berikutan ketiadaan projek dan peningkatan harga barangan seperti besi dan simen.

Beliau berkata, situasi yang berlaku ini pastinya akan memberi kesan dan menjejaskan pihak kontraktor dalam menguruskan projek masing-masing.

"Di samping itu, bagi mempercepatkan proses pemilihan kontraktor, kerja cabutan undi juga perlu disegerakan dengan telus bagi menggelakkan elemen rasuah.

"Bagi kerja yang telah tamat atau hampir tamat, kerajaan boleh menyambung kembali kerja tersebut tanpa perlu menender semula malah seharusnya penyambungan diberi kepada mereka yang menunjukkan kemampuan menyempurnakan projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, DPPM Putrajaya sebelum ini juga menerima rungutan daripada ahli berkaitan kelewatan kelulusan permit beberapa kementerian.

Beliau berkata, keadaan ini akan merugikan pihak industri yang bertungkus lumus menghidupkan semula ekonomi syarikat masing-masing.

"Berikutan itu, tugas Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memacu kembali pertumbuhan ekonomi ke tahap terbaik dengan mendapat sokongan penjawat awam khasnya mereka di peringkat pengurusan.

"Mereka perlu merasai denyut nadi pemain industri dan bukan hanya melihat kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamarulzaman berkata, kerajaan juga perlu memastikan semua syarikat telekomunikasi (telko) dapat meningkatkan perkhidmatan mereka sejajar dengan caj yang dikenakan kepada pengguna.

Tambahnya, perniagaan dalam talian telah menjadi trend pada masa kini namun terdapat kawasan luar bandar yang tidak mendapat liputan syarikat telko yang memuaskan.

"Perkara ini mengganggu perniagaan dalam talian dan memerlukan perhatian khusus oleh kerajaan selepas ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!