Rasuah: Reman empat individu termasuk jurutera disambung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh reman terhadap empat individu termasuk seorang jurutera dan seorang penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan di Hulu Selangor disambung dua hari lagi bermula esok bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan dua syarikat kontraktor.

Perintah reman hingga 24 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Shah Alam Siti Hajar Ali selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melanjutkan siasatan terhadap kesemua suspek berusia 37 hingga 45 tahun itu.

Sebelum ini keempat-empat individu itu direman lima hari bermula 18 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada dua kontraktor terbabit bagi mendapatkan projek pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah berkenaan.

Kesemua mereka ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 17 Ogos antara 1.30 tengah hari dan 5 petang selepas hadir memberi keterangan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Seorang lagi direman libat projek jalan, sekolah tahfiz

Artikel Berkaitan: