Kelantan United tiada penyerang tulen

Nazrulerwan Makmor. - Foto Kelantan United
Nazrulerwan Makmor. - Foto Kelantan United
A
A
A

KELANTAN United kalah kerana tiada penyerang tulen, itu luahan Ketua Jurulatih The Green Deers, Nazrulerwan Makmor selepas pasukan bimbingannya tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad lV, di sini pada Sabtu.

Nazrulerwan berkata, dalam permainan bola sepak jika barisan hadapan tidak boleh menjaringkan gol sudah tentu keputusan tidak akan menyebelahi The Green Deers itu.

“Terus terang, Kelantan United tidak ada penyerang tulen untuk menjaringkan gol menyebabkan pasukan kecewa lagi hari ini. Pada separuh masa pertama perlawanan itu kami boleh menjaringkan tiga gol namun ia tidak berlaku.

“Kami susah mahu mencari penyerang yang asli kerana Gassama Alfusainey dan Muhammad Asraff Aliffuddin yang bermain di posisi itu, bukan pemain penyerang namun kami tiada pilihan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan antara Kelantan United dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad lV, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu Kelantan United gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila tewas kepada pasukan pelawat menerusi jaringan penalti Mohammad Zaquan Adha Abd Razak pada minit ke-10 dan Francis Kone pada minit ke-81.

Jurulatih kelahiran Selangor itu berkata, beliau perlu mencari kaedah lain untuk memastikan jentera serangan The Green Deers itu berfungsi dalam baki tiga lagi perlawanan liga.

"Kami boleh tukar pemain gantikan dengan yang baharu, kami kena buat sesuatu di bahagian serangan,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan berkata, kejayaan meraih tiga mata penuh malam tadi mencerahkan peluang The Jangs bimbingannya itu untuk menempah slot ke Liga Super musim depan.

Artikel Berkaitan:

"Peluang masih ada untuk ke Liga Super dan kami kena bekerja keras untuk empat lagi baki perlawanan iaitu bertemu Kelantan FC, Kuching City FC, Sarawak United FC dan PDRM FC.

"Kami perlu menang dua atau tiga perlawanan daripada baki empat perlawanan itu supaya tidak tercicir mata,” katanya.

Negeri Sembilan FC kini berada di tempat pertama liga mengumpul 32 mata selepas 16 perlawanan, manakala Kelantan United berada di tempat kelapan dengan 20 mata selepas 17 perlawanan. _ Bernama