X

Kindly register in order to view this article
!

Reda kehilangan suami akibat Covid-19

Gambar kenangan bersama arwah suaminya, Muhammad Izzmanudin
A
A

TEMERLOH - "Kehilangan yang amat dirasai, bukan hanya kami anak beranak dan keluarga malah rakan-rakannya".

Demikian luahan Nur Haslin Mohamad Suhaimi Udaya 30, isteri kepada Muhammad Izzmanudin Ibrahim, 34, yang meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada jam 7.48 pagi akibat jangkitan Covid-19 pada 7 Ogos lalu selepas ditidurkan selama 14 sejak 25 Julai lalu.

Nur Haslin reda walaupun sedih dengan kehilangan arwah suaminya yang juga pegawai perkhidmatan pelanggan di CIMB Bank Berhad di Bukit Damansara, Kuala Lumpur itu akibat Covid-19.

"Arwah suami disahkan positif pada 11 Julai lalu, sebelum itu dia demam dan memang ada kes jangkitan di pejabatnya menyebabkan suami menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Nur Haslin bersama anak bongsunya, Muhammad Izz Qays Qarizh
Nur Haslin bersama anak bongsunya, Muhammad Izz Qays Qarizh

"Namun pada 21 Julai lalu, kesihatannya semakin merosot dan puas berusaha mendapatkan ambulans tapi kebanyakannya meminta tunggu giliran dan saya sendiri sukar menghantar suami kerana dua anak masih kecil.

"Pada 25 Julai, rakan suami membantu mendapatkan ambulans swasta dan dibawa ke HUKM, ketika sampai di hospital, kadar oksigen telah menurun hanya tinggal 65 peratus lalu ditidurkan pada malam itu juga," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Nur Haslin ditemui di kediaman keluarganya di Taman Sri Layang, Mentakab ketika menerima kunjungan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Temerloh bersama Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datuk Juhanis Abd Aziz.

Jelas ibu kepada Muhammad Izz Thaqif Thalhah, 3, dan Muhammad Izz Qays Qarizh, lima bulan itu, arwah suaminya tidak menghadapi sebarang penyakit kronik.

"Setiap hari saya minta doktor buat panggilan video untuk saya lihat keadaan suami walaupun arwah suami ditidurkan.

Juhanis (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nur Haslin semasa kunjungan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Temerloh pada Sabtu.
Juhanis (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nur Haslin semasa kunjungan Skuad Sayang Wanita UMNO Bahagian Temerloh pada Sabtu.

"Pada 7 Ogos lalu, kira-kira jam 7.20 pagi iaitu selepas ditidurkan selama 14 hari, doktor membuat panggilan video dan minta saya lafazkan kalimah syahadah dan selepas panggilan ditamatkan, tidak sampai 10 minit kemudian saya dimaklumkan suami telah meninggal dunia," jelasnya lagi.

Tambahnya, buat masa ini dia ingin berehat bersama ahli keluarganya sebelum memikirkan perancangan masa depan.

"Anak-anak pun belum mengerti ayah mereka sudah tiada dan ketika hayatnya, arwah suami seorang yang bertanggungjawab, penyayang terhadap keluarga," akuinya.

Sementara itu, Juhanis memberitahu, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga itu dan akan membantu dari semasa ke semasa mengikut keperluan yang sesuai.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!