Bukan hanya bida nombor plat, pakar syor tingkat inovasi hakiki

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Noor Azlan)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Noor Azlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi mencadangkan Kementerian Pengangkutan (MOT) melakukan inovasi hakiki dengan mempertingkatkan perkhidmatan awam dan swasta serta memudahkan urusan seharian bukan sekadar membida nombor plat kereta.

Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, inovasi nombor plat kereta dengan menggunakan sistem digital untuk melancarkan proses bidaan yang dianggap menjana hasil kerajaan adalah berbeza sekali dengan keutamaan negara.

“Sebahagian besar negara maju mengeluarkan plat kereta dengan kualiti dan piawaian yang khusus seperti saiz huruf, angka, warna, kualiti tulisan jelas, tidak mudah rosak serta berupaya memantul semula apabila terkena cahaya malah dilengkapi dengan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Teknologi RFID bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan perniagaan, malah telah mengubah kelaziman urusan kehidupan serta menjadikan banyak amalan sedia ada lapuk,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Tambah Noor Azlan, ia berbeza sekali apabila pengenalan RFID di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS menjadi kecoh dan heboh sehingga memaksa tiga kaedah pembayaran tol diwujudkan sehingga menyulitkan keadaan.

“Sebaliknya ‘kejayaan’ yang dirai ialah hasil bidaan nombor plat kereta tertinggi dalam sejarah menjadi rebutan dan mungkin juga sudah ada pasaran jual beli nombor plat kereta. Penciptaan nilai yang tidak hakiki hanya nombor plat kereta.

“Jika diimbas dengan rukun Malaysia Madani yang ketiga iaitu ‘dayareka’ jauh lagi perjalanan kita. Tiba masa untuk mengadaptasi teknologi terkini mencipta nilai hakiki,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri 'FF' catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, 34,032 orang menyertai bidaan itu, yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas, dengan 8,348 daripada mereka berjaya mendapatkan nombor plat siri berkenaan.