Ismail Sabri dapat perkasakan kembali BN: Zambry

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri diyakini dapat memperkasakan tradisi Barisan Nasional (BN) dalam membela rakyat dan memakmurkan negara, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN merafak sembah menjunjung kasih Titah Perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Ahli Parlimen Bera itu untuk menerajui pentadbiran kerajaan.

“Dewan Tertinggi BN yakin dengan pengalaman beliau dan didukungi oleh parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang luas dan panjang, Datuk Seri Ismail Sabri mampu mendepani cabaran bagi mengembalikan citra Malaysia sebagai sebuah negara progresif.

“Sehubungan itu, Dewan Tertinggi BN menyeru semua pihak khususnya kepimpinan BN di setiap peringkat untuk memberikan sokongan dan terus bersatu hati,” katanya lagi.

Zambry berkata, sokongan itu penting bagi memastikan BN dapat terus memberikan khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat.

Ismail Sabri telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 2.30 petang, di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara yang turut berada di dalam Balai Singgahsana Kecil menyaksikan upacara bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun serta Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, turut kelihatan ialah ketua-ketua parti politik negara seperti Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Muhyiddin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kehilangan majoriti selepas 15 Ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. - Awani