96.26 peratus guru di Johor sudah divaksin

Mazlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM 2020, Siti Hasnah Ambomiri dalam program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada Sabtu.
Mazlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM 2020, Siti Hasnah Ambomiri dalam program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang memberitahu, bakinya iaitu 1,767 atau 3.74 peratus masih belum divaksin.

"Berdasarkan statistik, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin dan ini merupakan perkembangan terbaik.

"Sehingga kini kumpulan guru memberi komitmen yang baik terhadap penerimaan vaksin berkenaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Putih di sini pada Sabtu.

Seramai 12 pelajar dari kampung tersebut melibatkan keluarga B40 mendapat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan SPM 2020.

Mazlan berkata, pihaknya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan guru-guru di Johor untuk menerima vaksin menjelang pembukaan sekolah yang yang dijadualkan Oktober nanti.

"Saya jangkakan akhir bulan ini proses vaksinasi guru boleh selesai dan bila sekolah buka, 100 peratus guru sudah lengkap kedua-dua dos," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pembukaan sekolah, beliau berkata pihaknya bergantung kepada arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Saya amat yakin dan percaya bahawa pihak KPM akan membuat keputusan tepat berdasarkan perkembangan semasa melalui data serta nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menilai risiko.

"Persiapan untuk pembukaan sekolah juga sedang dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.