'Rasa tak percaya adik jadi PM': Abdul Manaf

Abdul Manaf menaruh harapan adiknya menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sebaik-baiknya.
Abdul Manaf menaruh harapan adiknya menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sebaik-baiknya.
A
A
A

TEMERLOH - "Rasa macam tak percaya anak kampung boleh jadi Perdana Menteri (PM).

Itu reaksi abang Perdana Menteri, Abdul Manaf Yaakob, 81, selepas adik bongsunya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ataupun mesra dengan panggilan Yee dilantik selaku Perdana Menteri yang kesembilan pada Sabtu.

Menurutnya, ia umpama satu khabar gembira yang tidak terduga buat keluarganya.

Abdul Manaf menunjukkan dirinya bersama adik beradiknya termasuk Ismail Sabri.
Abdul Manaf menunjukkan dirinya bersama adik beradiknya termasuk Ismail Sabri.

"Memang ada rasa macam tak masuk akal adik jadi PM selain terkejut tapi pada masa sama bersyukur dan tahu ia dalam aturan ALLAH SWT walaupun saya lihat perjalanan karier politiknya agak mendatar.

"Ikutkan ketokohan Yee dalam politik hanya saya nampak ketika dia menuntut di Universiti Malaya (UM)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Abdul Manaf yang juga bekas ahli perniagaan itu ditemui di kediamannya di Taman Sri Semantan di sini.

Anak kedua daripada lapan beradik yang mesra dengan panggilan Abang Nik itu memberitahu, sebagai anak bongsu, Ismail Sabri seorang adik yang manja dan low-profile sejak kecil.

Artikel Berkaitan:

Abdul Manaf sebak ketika menonton Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan oleh adiknya di kaca TV petang tadi.
Abdul Manaf sebak ketika menonton Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan oleh adiknya di kaca TV petang tadi.

"Lagi satu sebagai anak kampung, adik pun macam budak lain, suka mandi sungai dan lain-lain.

"Malah, bila adik dah jadi menteri saya lihat dia (Yee) masih ada menunjukkan sifat manjanya," kongsi beliau bahawa adiknya sangat menggemari menu ketupat cicah gula kabung (nisan).

Seperti orang lain, Abdul Manaf juga mengharapkan adiknya dapat menggalas tanggungjawab sebagai PM sebaik mungkin.

"Jalankan tugas dengan jujur, ikhlas dan amanah selain dapat mengatasi pandemik Covid-19 yang sangat diharapkan oleh rakyat di negara ini," tambahnya.