Syarat dikenakan PN undang pelbagai reaksi

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Tawfik, Hisomuddin
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Mohammad Tawfik, Hisomuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Syarat sokongan yang ditetapkan oleh Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpotensi untuk kembali membuka ruang kepada ketidakstabilan politik negara seperti sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpendapat, syarat mengejut dikeluarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyddin Yassin itu seakan-akan mengundang situasi tidak selesa dalam gabungan kerajaan bakal dibentuk itu.

Menurutnya, meskipun syarat itu tidak sukar untuk dipenuhi oleh UMNO namun dibimbangi Perdana Menteri baharu akan berhadapan kesukaran menguruskan spekulasi dan persepsi berkenaan penglibatan kumpulan dinamakan sebagai ‘kluster mahkamah’ dalam pentadbiran negara.

“Cuma bagi saya bagaimana Perdana Menteri ingin menguruskan persepsi itu supaya dilihat tidak terpengaruh atau ada campur tangan (kluster mahkamah),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, syarat itu tidak sesuai pada waktunya kerana negara ketika ini benar-benar memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub sebaliknya berpandangan syarat dikemukakan oleh PN itu hanyalah suatu teguran kepada kerajaan yang bakal dibentuk.

Beliau berkata, perkara itu dilihat tidak akan menggugat kestabilan politik negara kerana ruang perbincangan dalam parti komponen kerajaan masih boleh terus berfungsi.

“Saya yakin, sesiapa saja yang mentadbir Malaysia, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan mempunyai kredibiliti,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: