X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Dua beradik terima pencen penakat ibu bapa meninggal dunia akibat Covid-19

Hamdan bersama Tarmizi (kiri) menyampaikan faedah Perkeso kepada waris bekas pekerja MBK yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Perumahan Padang Maju di sini pada Jumaat.
A
A

KUANTAN - Nasib dua beradik yang kehilangan ibu dan bapa tiri akibat Covid-19 terbela apabila menerima pencen penakat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Farah Syafina Tallazi, 20, dan adiknya, Mohammad Hasikal Daniel, 18, layak menerima pencen penakat daripada kedua-dua ibu bapa mereka itu secara bulanan sehingga mencapai usia 21 tahun.

Mereka juga turut menerima faedah pengurusan mayat dari Perkeso dan faedah-faedah lain daripada pihak majikan.

Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, Allahyarham Mohd Fazir Abdul Majid, 49, yang bertugas sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) meninggal dunia akibat Covid-19 pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, isteri Mohd Fazir, Hamizam Yusof, 49, yang juga kakitangan sebuah syarikat pembersihan turut dijangkiti virus itu dan telah sembuh, namun meninggal dunia pada 7 Ogos lalu akibat kegagalan organ.

"Hasil semakan mendapati pasangan itu pencarum Perkeso dan dua daripada tiga anak mereka layak menerima manfaat itu.

"Berdasarkan rekod, Mohd Fazir hanya mencarum dari 1992 hingga 2003 sahaja, namun warisnya layak untuk menerima pencen dan faedah pengurusan mayat dari Perkeso," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan faedah Perkeso itu kepada waris pencarum di Perumahan Padang Maju di sini pada Jumaat.

Turut hadir Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Tarmizi berkata, dalam tempoh Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 1,041 tuntutan kes Covid-19 dicatatkan di negeri ini termasuk 24 kes melibatkan kematian.

Menurutnya, daripada jumlah tuntutan kes Covid-19 itu, Perkeso Pahang telah membayar faedah membabitkan jumlah keseluruhan RM820,603.

Sementara itu Hamdan berterima kasih kepada pihak Perkeso atas tindakan sewajarnya bagi membolehkan faedah itu dapat segera disampaikan kepada waris pencarum.

"Sekurang-kurangnya pencen yang diterima waris dapat meringankan beban ditanggung selepas kehilangan kedua ibubapa akibat Covid-19.

"Pihak MBK juga prihatin dengan nasib waris bekas pekerja MBK ini yang mana hari ini kita turut menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 dan wang khairat kematian serta sumbangan barang makanan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!