Kumpulan Abu Sayyaf bekerja sambil tunggu peluang culik

HAZANI
HAZANI
A
A
A

KOTA KINABALU - Tujuh ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) yang ditahan di kawasan rumah pekerja Ladang Borhill di Pulau Timbang, Rabu lalu dipercayai bekerja di ladang berkenaan sambil menunggu peluang melakukan jenayah penculikan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu diketahui hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan operasi ke atas kumpulan ASG di Taman Seri Arjuna Beaufort, 8 Mei lalu.

Katanya, operasi pasukan keselamatan terdiri daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, seramai 25 lelaki ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

"Seramai 11 lelaki warga Filipina ditahan dan daripada jumlah itu tujuh disahkan oleh pihak keselamatan Filipina adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf.

"Seramai 14 lagi warga Indonesia tetapi lapan dibebaskan selepas majikan menunjukkan dokumen dan permit kerja," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, pada Jumaat.

Sementara itu, Hazani mengingatkan pemilik ladang di negeri ini supaya sentiasa berhati-hati ketika mengambil pekerja dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.

Tegas beliau lagi, pihaknya akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki kumpulan Abu Sayyaf di negeri ini.

Dalam insiden jam 5 pagi Jumaat, dua ahli kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati di Pulau Timbang.

Artikel Berkaitan:

Mereka dikenal pasti merancang untuk melakukan penculikan di kawasan pulau berkenaan membabitkan pemilik ladang kelapa sawit.