Muhyiddin minta rakyat jaga kesihatan, keselamatan di tempat awam

Muhyiddin ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara
Muhyiddin ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia agar sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila berada di kawasan awam termasuk di masjid.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, beliau turut menasihati agar rakyat Malaysia berdoa supaya sentiasa dilindungi ALLAH SWT daripada virus Covid-19 dan diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran serta rintangan daripada pandemik tersebut.

"Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat daripada sebelumnya, insya-ALLAH.

"Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada ALLAH SWT.

"Itulah sifat hambanya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa," katanya pada Jumaat.

Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi foto menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan ketat.

Sementara itu Muhyiddin berpendapat, jika seseorang individu itu sentiasa berpandu kepada jalan ALLAH SWT al-Quran dan Sunah, beliau yakin dan percaya hidup mereka akan lebih tenang dan bermakna.

"Jangan buat sesuatu yang anda rasakan betul, tetapi lakukan apa yang ALLAH SWT katakan betul. Kepada ALLAH SWT jualah kita berserah," katanya.

Artikel Berkaitan: