31 individu ditahan berhimpun di Dataran Merdeka

Seramai 31 ahli SSR dikenakan kompaun RM2,000 seorang kerana berhimpun di Dataran Merdeka pada Khamis.
Seramai 31 ahli SSR dikenakan kompaun RM2,000 seorang kerana berhimpun di Dataran Merdeka pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang juga penganjur perhimpunan #Lawan ditahan polis sekitar jam 8 malam kerana berhimpun di Dataran Merdeka di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua peserta yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

“Pasukan pematuhan IPD Dang Wangi telah mengesan sekumpulan individu sedang berhimpun di Dataran Merdeka di dalam program memorial memperingati mereka yang gugur disebabkan Covid-19 oleh SSR.

“Didapati seramai 31 individu terdiri daripada ahli SSR yang sedang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang warna putih bertulis ‘belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi',” katanya dalam kenyataan pada lewat malam Khamis.

Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata, pihak polis akan menyiasat kejadian tersebut di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis dan Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pada masa sama, kes akan disiasat di bawah Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN)(No.2) 2021, kawalan berhimpun.

“Orang ramai dinasihatkan supya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: