X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Calon TPM dari kem Bersatu jadi tumpuan

A
A

[DIKEMAS KINI] CALON bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kini tertumpu dalam kem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat perhatian banyak pihak.

Difahamkan jawatan tersebut dituntut oleh parti itu selepas mereka menyatakan sokongan bersyarat kepada Barisan Nasional dan UMNO yang memilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Ismail Sabri dijangka akan membuat keputusan bagi memilih pasukannya selepas mengangkat sumpah jawatan kelak.

Bagaimanapun, semua pihak masih menanti pengumuman rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengenai jawatan TPM, antara nama yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

Turut disebut ialah ahli Parlimen Gombak iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Calon ketiga ialah ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin iaitu bekas Menteri Dalam Negeri.

Hamzah Zainudin - Foto Bernama
Hamzah Zainudin - Foto Bernama

Jika diambil dari sudut Susunan dan kedudukan dalam Bersatu maka Hamzah iaitu Setiausaha Agung Bersatu merupakan pemimpin paling kanan diikuti oleh Mohd Redzuan yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Sementara Mohamed Azmin juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu namun beliau menyertai parti itu selepas Pakatan Harapan tumbang dan menjadikannya sebagai 'junior' dalam parti itu.

Bagaimanapun, akar umbi Bersatu dilihat sudah memulakan langkah awal berkempen untuk menaikkan Mohd Redzuan bagi jawatan tersebut.

Buat masa ini, Bersatu masih mempunyai banyak masa untuk menentukan calon mereka kerana Ismail Sabri masih perlu melalui satu lagi ujian yang akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen.

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan

Selepas itu barulah beliau boleh menentukan barisan Kabinet baharu.

Antara cabaran Ismail Sabri ialah Bersatu telah mengeluarkan satu kenyataan dan mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen dari parti gabungan Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah secara bersyarat.

Antara syarat tersebut ialah Ismail Sabri hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Pada masa sama, kerajaan PN di bawah beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!