Pelitup muka Tajuddin jadi perhatian

Tajuddin - Foto The Star Online
Tajuddin - Foto The Star Online
A
A
A

PELITUP muka ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi menjadi perhatian.

Bukan sahaja dalam kalangan pengamal media yang berhimpun di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) baru-baru ini, malah ia turut menjadi bualan warganet di media sosial.

Ramai pengguna Twitter termasuk Merak Jalanan sendiri mengimpikan untuk memiliki pelitup muka premium itu.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter, pelitup muka yang dipakai Tajuddin adalah produk di bawah rangkaian LG PuriCare dan dijual pada harga RM1,699.

Apa yang membuatkan pelitup muka itu unik ialah ia dilengkapi teknologi pembersihan udara, sekali gus memastikan pengguna menerima udara bersih.

Pun begitu, warganet masih menghentam Tajuddin kerana beliau didakwa tidak tahu menggunakan pelitup muka tersebut dengan betul.

Ramai kurang senang apabila melihat pelitup muka dipakainya kerap 'terlondeh' dan menerusi satu rakaman video, jelas kedengaran seorang wartawan meminta beliau membetulkan pelitup muka canggih tersebut sebelum ditemu bual.

Komen-komen di Twitter pula ada yang meminta Tajuddin 'tape' sahaja pelitup muka tersebut di wajahnya, malah ada yang lebih sinis menganggap ia sebagai perhiasan 'cosplay'.

Artikel Berkaitan:

Ada juga yang berseloroh; "Dia masih buka? Tak handsome, sila pakai balik."

Tidak kurang ada juga warganet menganggap Tajuddin tidak serik selepas dua kali dikompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Umum mengetahui, Tajuddin dikompaun selepas didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen.

Sebelum ini, Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama semasa mengadakan sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC pada 25 Mei lalu.

Apa pun, bagi individu di luar sana, Merak Jalanan menasihatkan pakailah pelitup muka dengan betul dan sempurna.

Ingatlah pesanan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa langkah paling penting ketika ini yang perlu dipraktikkan semua pihak ialah mematuhi SOP dalam usaha mencegah penularan Covid-19 daripada varian Delta.