Ahmad Zahid sokong Pasir Salak jadi daerah penuh

Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Kampong Gajah pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Kampong Gajah pada Sabtu.
A
A
A

PASIR SALAK - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia menyokong cadangan dalam menjadikan kawasan Pasir Salak sebagai daerah baharu negeri Perak.

Menurut beliau, pengiktirafan kawasan itu sebagai sebuah daerah penuh dilihat penting untuk pembangunan rakyat.

"Bagan Datuk telah pun diisytiharkan sebagai daerah penuh ke-12 di Perak. Insya-ALLAH, Bagan Datuk dan Pasir Salak akan sama-sama naik (membangun).

"Saya harap Khairul Azwan Harun (Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak) usahakan agar Pasir Salak bukan menjadi daerah kecil lagi tetapi daerah Pasir Salak menjadi daerah penuh ke-13.

"Cuba runding elok-elok dengan Menteri Besar kemudian minta beliau hantar kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Jika sampai kepada saya, saya wajib sokong ketika dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Salak di Kampong Gajah di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan kelulusan projek bernilai RM4.5 juta bagi bina semula rumah kedai yang hangus terbakar Februari lalu di Seberang Perak dan projek perhubungan jalan desa serta naik taraf jalan-jalan kampung dalam Parlimen Pasir Salak.

Tambah beliau, permohonan projek lain antaranya baik pulih dan naik taraf Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kompleks Mini Stadium dan Litar Dato Sagor serta mempercepatkan projek naik taraf perairan padi Sungai Manik yang tergendala akan dibincang dengan menteri berkaitan.

"Saya ingin umumkan pembukaan jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop yang ditunda pada Aidilfitri akan dibuka sepenuhnya pada 31 Mei depan.

"Saya harap pembangunan ini akan dimanfaatkan bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah apa yang penting pembangunan ekonomi di kawasan Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk," katanya.