Polis gempur sindiket judi online dalam kondominium

Antara suspek yang ditahan dalam Ops Calling Centre di sebuah kondominium di Kajang, pada Khamis.
Antara suspek yang ditahan dalam Ops Calling Centre di sebuah kondominium di Kajang, pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Polis menggempur sindiket perjudian dalam talian yang menyewa lima unit kediaman berasingan di sebuah kondominium, di sini pada Khamis.

Serbuan Ops Calling Centre kira-kira jam 2 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hasil maklumat serta risikan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, dalam operasi itu 16 individu ditahan termasuk lima wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

"Semakan mendapati 13 suspek adalah warga asing terdiri lima warga Indonesia dan lapan warga Thailand.

"Polis merampas 21 telefon bimbit, 11 monitor komputer, 13 komputer riba dan tujuh modem," katanya kepada Sinar Harian selepas serbuan itu.

Tambah Zuhairee, siasatan mendapati lima unit kediaman yang disewa di tingkat berlainan dijadikan tempat operasi mempromosi kegiatan perjudian dalam talian dengan menyasarkan warga tempatan dan Thailand.

Katanya, soal siasat mendapati sindiket terbabit menyewa kediaman terbabit dengan bayaran RM2,000 sebulan.

Tambah beliau, risikan mendapati sindiket beroperasi sejak dua tahun lalu dengan mengupah warga asing sebagai operator perjudian dengan dibayar gaji sebanyak RM2,000 ke RM2,500 sebulan sementara lelaki tempatan sebagai penyelia dan menguruskan tempat perjudian.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kegiatan perjudian dalam talian itu dikesan mampu mengaut untung mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sehari.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen.