Uzbekistan Airways bantu proses pemindahan dari Afghanistan ke Frankfurt

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan Uzbekistan Airways pada Khamis telah membantu mengangkut sekitar 200 orang dari Afghanistan ke Frankfurt, Jerman melalui Tashkent.

Kenyataan Kedutaan Uzbekistan di Malaysia memaklumkan, pesawat itu disediakan kerajaan Uzbekistan atas permintaan kedutaan Jerman di Uzbekistan.

Kementerian Pertahanan Jerman telah berjaya memindahkan 211 orang dari Kabul ke Tashkent dengan pesawat tentera pada Khamis.

"Jumlah keseluruhan orang yang sudah dibawa keluar melalui Tashkent melebihi 900," menurut kenyataan itu.

Langkah itu diambil susulan perbualan telefon antara Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev dan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pada 17 Ogos, dan antara Mirziyoyev dengan Canselor Jerman Angela Merkel pada 18 Ogos.

Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan lapangan terbang Tashkent hanyalah sebagai transit, penumpang dari Afghanistan itu tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana sehingga pihak Jerman membawa mereka keluar dari Tashkent.

Operasi itu akan diteruskan sehingga keadaan di Afghanistan kembali normal.

Ribuan orang termasuk rakyat asing telah dibawa keluar dari Kabul sejak ibu negara Afghanistan itu ditawan Taliban pada Ahad lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: