Polis tegur majikan abai pekerja ketika dibawa ke PPV

Mohamad Noor melakukan pemantauan di sebuah pasar raya dalam sebuah pusat membeli belah di Kuantan pada Khamis.
Mohamad Noor melakukan pemantauan di sebuah pasar raya dalam sebuah pusat membeli belah di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Wakil sebuah syarikat di negeri ini diberi teguran dan peringatan kerana membiarkan pekerja warga asing yang dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini tanpa pengawasan.

Aksi santai kumpulan pekerja terbabit berkumpul sambil bergambar di luar kawasan PPV tersebut dikesan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali ketika melakukan Pemantauan Pelaksanaan Pengoperasian Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekitar bandar raya ini pada Khamis.

Mohamad Noor berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan kegusaran awam.

Menurutnya, majikan atau wakil yang membawa pekerja ke PPV untuk menerima suntikan vaksin perlu lebih bertanggungjawab dan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Jangan biarkan pekerja bebas tanpa kawalan hingga membolehkan mereka melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Majikan bertanggungjawab terhadap pekerja masing-masing bermula ketika dibawa dari kilang sehingga selesai menerima suntikan di PPV terlibat," katanya selepas operasi pemantauan itu pada Khamis.

Mohamad Noor berkata, pekerja yang selesai menerima suntikan vaksin perlu segera dibawa pulang ke kilang atau penginapan masing-masing.

"Kita tidak mahu mereka dibiarkan berkumpul bagi mengelak perbuatan itu dirakam dan ditularkan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah memanggil wakil syarikat untuk memberi teguran dan meminta pekerja terlibat bersurai," ujarnya.

Tambah beliau, pasukan pemantau telah diarahkan memantau kawasan tersebut bagi mengelak perbuatan seperti itu berulang.

Sementara itu, beliau berkata, hasil pemantauan dilakukan di tiga lokasi melibatkan hotel, restoran dan pusat penyediaan makanan kepada petugas barisan hadapan mendapati semua pengendali faham dan patuh kepada peraturan ditetapkan.

"Rata-rata mereka faham berhubung kelonggaran diberikan kepada penerima vaksin lengkap dan garis panduan yang perlu dipatuhi golongan tersebut.

"Saya amat berpuas hati dengan langkah-langkah sewajarnya yang telah diambil pihak terlibat termasuk hotel dan restoran dalam menerima kemasukan pelanggan termasuk semakan sijil vaksinasi," katanya.