Individu lengkap suntikan vaksin di negeri Fasa 1 dibenar dine-in

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu lengkap dos suntikan vaksin Covid-19 di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan menikmati hidangan di restoran dan kedai makan mulai esok (Jumaat).

Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran itu merupakan antara kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi yang diputuskan dalam mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Khamis.

"Saya ingin menyarankan kepada pengusaha-pengusaha premis kedai makan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan lebih baik," katanya.

Menurutnya, risiko penyebaran virus Covid-19 adalah jauh lebih tinggi dalam premis berbanding di luar.

"Pemilik premis perlu pastikan pelanggan yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang membawa anak berusia 17 tahun ke bawah untuk dine-in perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Muhyiddin berkata, aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan aktivi juga dibenarkan bagi bagi negeri-negeri Fasa Satu PPN.

"Ia terpakai dalam daerah yang sama sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aktiviti sukan dan rekreasi dibenar dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka mulai 6 pagi sehingga 10 malam.

"Aktiviti dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis dan badminton perseorangan golf, permotoran dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata, operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah kekal tidak dibenarkan.

"Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Aktiviti yang dibenarkan juga termasuk perkelahan dan perkhemahan dengan penyertaan anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah adalah dibenarkan," katanya.

Tambah beliau, Sidang Khas MKN juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa Satu PPN dan seterusnya antaranya, operasi pasar malam dan pasar minggu dibenarkan.

"Pihak penguat kuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Pada 8 dan 15 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan beberapa kemudahan sosial dan ekonomi dinikmati oleh individu lengkap dos suntikan vaksin Covid-19.