PJ city berhasrat gagalkan pesta kemenangan awal JDT

No Image Caption
A
A
A

PETALING Jaya (PJ) City FC berhasrat untuk menggagalkan peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan pesta kemenangan awal meraih gelaran Liga Super buat kali kelapan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Sabtu.

Ketua jurulatih PJ City, P Maniam berkata, anak buahnya komited untuk mempamerkan persembahan terbaik menentang Harimau Selatan, kerana PJ City merupakan antara pasukan bukan pilihan yang telah mengecewakan JDT dalam Liga Malaysia.

Dalam empat pertemuan liga menentang JDT sebelum ini, skuad The Phoenix itu telah menang sekali, seri sekali dan dua kali tewas termasuk kalah 0-3 pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada April lepas, selain menumpaskan JDT sekali pada perlawanan Liga Malaysia 2018.

“Kami akan bermain seperti biasa kerana kita tahu JDT adalah pasukan yang sangat bagus, malah pemain simpanan mereka juga berada pada satu tahap yang lain, jadi bukan pasukan yang mudah untuk dilawan. Anda tidak boleh melihat seorang pemain, perlu melihat semua kerana mereka juga bagus dalam situasi satu lawan satu.

“Tetapi saya percaya, apabila anda bermain sepenuh hati, apa sahaja boleh berlaku. Walaupun ini sesuatu yang mencabar, pemain perlu menunjukkan komitmen, keagresifan dan sikap positif mereka ketika menentang JDT selain membuktikan kemampuan pemain tempatan kerana PJ City FC terdiri daripada 100 peratus pemain tempatan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun menghadapi krisis kecederaan apabila kira-kira enam pemainnya tidak dapat memulakan perlawanan, Maniam yakin bahawa mana-mana pemain yang diturunkan, mereka akan bermain sehabis baik menentang juara bertahan, yang kini memiliki tujuh kejuaraan liga berturut-turut.

“Adalah biasa bagi kita kerap menukar pemain, jadi sesiapa yang diberi peluang, mereka akan merebut kesempatan itu untuk beraksi,” katanya dan menamakan pemain sayap muda V. Ruventhiran dan Sunil Chandran sebagai contoh.

Antara pemain yang cedera ialah penyerang Darren Lok dan Muhammad Syahmi Zamri; pemain tengah K. Gurusamy serta pemain pertahanan S. Subramaniam dan M. Tamil Maran.

Artikel Berkaitan:

JDT berada di ambang kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut, menduduki tangga teratas liga dengan 45 mata selepas 18 perlawanan, kelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekat Terengganu FC (TFC) yang mengumpul 37 mata dengan hanya berbaki empat perlawanan.

Pulau Pinang FC di kedudukan ketiga dengan 31 mata dan hanya boleh mencabar di tempat kedua manakala Kedah Darul Aman (KDA) di tempat keempat dengan 29 mata selepas 15 perlawanan, mempunyai peluang tipis untuk mengejar JDT.

Kemenangan ke atas PJ City FC nanti akan membolehkan JDT menjulang piala liga, pada masa yang sama TFC akan bertemu KDA di laman sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, PJ City yang kalah tiga perlawanan berturut-turut selepas menang 1-0 ke atas Sabah FC pada 24 Julai, berada di kedudukan kelapan dengan 18 mata selepas 17 perlawanan. -Bernama