IMF enggan beri pinjaman kepada Afghanistan

Tabung Kewangan Antarabangsa yang beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat tidak akan menyalurkan pinjaman kewangan kepada Afghanistan. - Foto AFP
Tabung Kewangan Antarabangsa yang beribu pejabat di Washington, Amerika Syarikat tidak akan menyalurkan pinjaman kewangan kepada Afghanistan. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak akan menyalurkan pinjaman kewangan kepada Afghanistan ekoran ketidaktentuan berhubung status kepimpinan di negara itu, kata seorang jurucakap IMF pada Rabu.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) turut menyekat aset-aset Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kepimpinan negara tersebut pada Ahad lepas.

Antara yang disekat IMF ialah pinjaman kewangan bernilai AS$370 juta (RM1.5 bilion) kepada negara berkenaan.

"Ketika ini terdapat kekurangan kejelasan dalam kalangan komuniti antarabangsa berhubung pengiktirafan kerajaan di Afghanistan dan sebagai kesannya negara tersebut tidak mendapat akses sumber-sumber IMF," kata pegawai berkenaan.

Pada Ahad lalu, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri dari Kabul setelah anggota-anggota pemberontak Taliban memasuki ibu kota itu sekali gus menumbangkan tentera kerajaan.

Sebelum ini, IMF mengambil pendekatan yang sama apabila anggota-anggotanya gagal untuk mengiktiraf sebuah kerajaan seperti dalam kes Venezuela.

Terdapat dua tokoh yang mengaku memimpin Venezuela sekarang iaitu Presidennya, Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang, Juan Guaido selepas Maduro berjaya mengekalkan kuasa Maduro buat kali kedua menerusi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2018.

Bagaimanapun, parti-parti pembangkang menganggap pilihan raya itu sebagai tidak adil ekoran ramai calon dilarang bertanding, manakala yang lain dijel atau melarikan diri ke luar negara kerana takut dipenjarakan. - Agensi

Artikel Berkaitan: