Bursa Malaysia rendah pada awal dagangan

Bursa Malaysia
Bursa Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada dagangan Khamis, menjejaki prestasi semalaman pasaran Wall Street yang suram.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.16 mata kepada 1,521.08 daripada paras 1,525.24 pada akhir dagangan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.56 mata lebih rendah kepada 1,524.68.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 230 berbanding 113 manakala 252 kaunter lain tidak berubah, 1,603 tidak diniagakan dan tujuh kaunter lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 230.04 juta unit bernilai RM90.29 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata para pelabur akan memantau perkembangan mengenai pelantikan perdana menteri baharu serta pembentukan kerajaan seterusnya sebelum memutuskan pilihan pelaburan masing-masing.

Pada masa sama, terdapat peniaga yang berkemungkinan besar menumpukan aspek pemulihan sektor-sektor ekonomi berkaitan susulan pelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara membabitkan negeri-negeri dalam Fasa Dua, kata firma pembrokeran itu.

Menurutnya, minat belian lebih terarah kepada saham sarung tangan selepas angka kes harian Covid-19 mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 22,242 kes pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga percaya sektor-sektor yang terbabit dalam pemulihan seperti pembinaan, bahan binaan dan hartanah akan mendapat tarikan berikutan kelancaran usaha pemberian suntikan vaksin,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Hong Leong Bank naik enam sen kepada RM18.38, IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.79, Maybank dan Petronas Chemicals susut empat sen masing-masing pada RM8.10 dan RM7.95, Public Bank turun dua sen kepada RM3.92 dan TNB susut lima sen kepada RM9.84.

Bagi saham aktif, Avillion menokok satu sen kepada 20 sen, Sedania Innovator naik 4.5 sen kepada 80.5 sen, AppAsia meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, KNM tidak berubah pada 21 sen manakala Advance Synergy susut 1.5 sen kepada 18 sen.

Di papan indeks, FBM ACE naik 3.89 mata kepada 7,115.88, Indeks FBM Emas susut 26.35 mata kepada 11,121.61, Indeks FBM Emas Shariah turun 22.51 mata kepada 12,240.24, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.04 mata kepada 10,836.21 manakala FBM 70 turun 31.48 mata kepada 14,595.87.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.46 mata kepada 190.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 48.75 mata kepada 14,810.28 manakala Indeks Perladangan naik 18.32 mata kepada 6,412.18. - Bernama