Strok ubah nasib Mamat

Khairuddin (kiri) melawat Mamat yang menderita penyakit strok.
Khairuddin (kiri) melawat Mamat yang menderita penyakit strok.
A
A
A

KUALA NERUS - Serangan strok mengubah nasib Mamat Yunus, 83, dari Banggol Tuan Muda, yang dahulunya aktif kini hanya berehat di rumah dan tidak mampu melakukan kerja berat.

Isterinya, Semek A Bakar, 73, berkata, keperluan suami juga agak tinggi apabila menggunakan lampin pakai buang yang mencecah ratusan ringgit sebulan yang ditanggung ahli keluarga.

“Suami saya terpaksa bergantung kepada ahli keluarga terutama kepada saya untuk uruskan kehidupan seharian kerana sepenuhnya menggunakan alat bantuan untuk berjalan.

"Saya sekeluarga terpaksa tanggung kos yang tinggi untuk beli lampin pakai buang kerana suami saya tak dapat kawal dirinya untuk membuang air besar dan kecil," katanya, hari ini.

Semek dan suaminya, Mamat ditemui selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ke kediaman mereka sempena Lawatan Mahabbah di Banggol Tuan Muda di sini.

Khairuddin menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, tepung dan gula kepada pasangan suami isteri itu dan lima lagi keluarga diziarahnya.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Banggol Tuan Muda, Taib Musa dan pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) DUN Buluh Gading.

Khairuddin berkata, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan membantu pesakit strok dan pesakit penyakit kronik lain dengan memberi bantuan berupa lampin pakai buang.

Artikel Berkaitan:

“Semoga sumbangan seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung oleh mereka kerana kos membeli lampin pakai buang ini memang agak tinggi," katanya.

Program yang juga aktiviti rutin anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus yang sentiasa komited dalam membantu rakyat yang ditimpa kesusahan dan kesakitan khususnya di parlimen itu.