Banjir di Yan: Mayat seorang lelaki ditemui, dua masih hilang

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki ditemui selepas terperangkap dalam fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai di sini pada petang Rabu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, identiti lelaki berusia 60 tahun itu belum dikenal pasti.

Selain itu, katanya, seorang mangsa dilaporkan masih hilang, manakala dua telah ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai.

"Seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam kejadian rumah runtuh di Chalet Salak Denai dan ada mangsa terperangkap di atas bumbung di Kampung Setoi.

"Banjir berpunca hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dan air mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi, Sungai Puteri Mandi sekitar jam 5.30 petang," katanya mengesahkan perkara itu dalam satu taklimat di Pejabat Daerah Yan di sini pada malam Rabu.

Muhammad Sanusi mendengar taklimat berhubung kejadian di Pejabat Daerah Yan pada malam Rabu
Muhammad Sanusi mendengar taklimat berhubung kejadian di Pejabat Daerah Yan pada malam Rabu

Muhammad Sanusi berkata, banjir itu juga melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran Sungai Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Menurutnya, anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan, namun maklumat awal setakat ini seramai 60 orang yang perlu dipindahkan segera ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mangsa akan dibahagikan kepada tiga kategori di pusat pemindahan termasuk positif Covid-19, individu dikuarantin serta penduduk biasa.