Tujuh ahli geng Deva aktif curi kereta, pecah rumah diberkas

Ahmad Ridhwan menunjukkan barangan yang dirampas.
Ahmad Ridhwan menunjukkan barangan yang dirampas.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai tujuh lelaki disyaki ahli geng Deva ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes pecah rumah milik seorang pegawai kanan polis di Telok Panglima Garang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menahan seorang warga lelaki di Taman Telok Panglima Garang pada Selasa.

"Hasil soal siasat, kita berjaya memberkas enam orang lagi di taman yang sama, suspek juga telah menunjukkan tempat penyimpanan barang hasil pecah rumah di sekitar Telok Panglima Garang.

"Antara barang kes yang dirampas adalah sebuah kenderaan curi jenis Proton Wira, alat pecah rumah, dua unit air kompresor, peralatan tukang, dua utas jam tangan dan sepasang uniform pegawai kanan polis," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek berusia awal 20-an mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kabel Telekom Malaysia, kes samun dan penyalahgunaan dadah.

"Saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurut beliau, hasil tangkapan kesemua suspek, polis telah berjaya menyelesaikan 20 kes pecah rumah, kedai dan kecurian kabel di Kuala Langat.

"Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, dalam kejadian pecah rumah milik seorang pegawai kanan polis pada jam 11.55 malam, barangan kepunyaan pengadu iaitu baju, beg, kasut serta pakaian seragam polis yang lengkap dengan aksesori telah dicuri.