Peralihan Negeri Sembilan ke Fasa 2 PPN terganggu

Aminuddin.Foto Pejabat MB Negeri Sembilan
Aminuddin.Foto Pejabat MB Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Perubahan kerajaan Persekutuan menyebabkan perbincangan bagi membolehkan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) terganggu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau difahamkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah dua minggu tidak dapat dilaksanakan.

"Kita sedang menantikan kepada peralihan fasa kedua. MKN Negeri Sembilan sudah memohon supaya negeri ini dipindahkan kepada fasa seterusnya, tetapi oleh kerana keadaan yang berlaku di peringkat Pusat, mesyuarat MKN yang sepatutnya berlangsung setiap minggu tidak dapat diadakan.

"Jika mesyuarat MKN dapat dibuat semula, pasti Negeri Sembilan akan beralih kepada fasa kedua," katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Aminuddin berkata, berdasarkan rekod, bilangan kes positif Covid-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital di negeri ini telah menunjukkan perubahan positif iaitu 77 peratus dengan 20 buah katil kosong.

"Cuma bilangan pesakit yang ditempatkan di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban masih tinggi iaitu 113 peratus dan lain-lain ada kekosongan.

"Apa yang menggembirakan kita ialah pada dua hari lepas tiada kes bagi kategori tiga, empat dan lima. Semalam (Selasa), hanya ada 10 kes bagi kategori empat dan lima, manakala dua kes bagi kategori tiga," jelas beliau.

Beliau berkata, keadaan itu jelas menunjukkan kesan positif pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, beliau yakin Negeri Sembilan sudah bersedia untuk berpindah ke fasa kedua PPN.

"Kita tidak tahu lagi bila dan ia bergantung kepada sidang MKN. kita berdoalah supaya dapat beralih kepada fasa kedua," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, sebanyak 28,775 penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan dengan 28 kompaun dikeluarkan bagi tempoh 1 Ogos hingga 6 Ogos.

Katanya, bagi tempoh antara 7 Ogos dan 13 Ogos, sebanyak 34,760 penguatkuasaan dilakukan dengan 12 kompaun dikeluarkan.