Sorok 23 pokok keladi hiasan dalam tong ikan

Lori yang membawa pokok keladi hiasan ditahan Maqis di Kompleks Sultan Iskandar pada Rabu dan Pegawai Maqis menunjukkan pokok keladi hiasan yang ditahan kerana pengimport gagal mengemukakan dokumen yang sah.
Lori yang membawa pokok keladi hiasan ditahan Maqis di Kompleks Sultan Iskandar pada Rabu dan Pegawai Maqis menunjukkan pokok keladi hiasan yang ditahan kerana pengimport gagal mengemukakan dokumen yang sah.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cubaan membawa masuk 23 pokok keladi hiasan dari Singapura dengan menyorokkannya ke dalam tong ikan berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Sultan Abu Bakar di sini pada Selasa.

Kegiatan itu berjaya dikesan pegawai penguat kuasa Maqis bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia setelah pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah lori kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurut kenyataan Maqis Johor pada Rabu, pemeriksaan lanjut mendapati, pokok keladi hiasan dianggarkan bernilai RM7,230 itu disembunyikan di dalam tong ikan yang kosong bertujuan untuk dijual di pasaran tempatan.

"Pokok keladi hiasan itu ditahan kerana pengimport gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil rawatan dari negara asal. Tanaman keladi hiasan yang ditahan adalah daripada spesies Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan lain-lain lagi.

"Permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar tanaman hiasan terbabit menjadikan pengimport mengambil tindakan berani dengan menyeludup masuk spesies yang jarang ditemui di pasaran tempatan," katanya.

Maqis turut menahan pemandu lori berkenaan yang berusia 38 tahun untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.

Katanya, perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah merupakan suatu kesalahan.

Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.