Pilih PM: Jangan ikut perangai ketam dalam bakul

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MELIHAT situasi politik di Malaysia hari ini, Merak Jalanan teringatkan perangai pelik haiwan bernama ketam.

Ketam kalau letak seekor dalam bakul, bakul itu perlu ditutup supaya ia tidak merangkak keluar. Tapi kalau letak banyak ketam dalam sebuah bakul, bakul boleh pula dibiarkan terbuka.

Yang lucunya tentang ketam ini, bila seekor cuba memanjat keluar, ketam-ketam lain akan menariknya sampai terjatuh semula.

Sudahnya, walaupun bakul tidak ditutup, tiada seekor ketam pun yang berjaya keluar.

Di mata rakyat, itulah perangai buruk sesetengah ahli politik di Malaysia.

Apabila ada seseorang naik menjadi pemimpin, akan ada orang lain yang cuba menjatuhkannya sehingga meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil.

Beberapa peristiwa kebelakangan ini juga menginsafkan Merak Jalanan bahawa tiada apa milik kita yang kekal.

Harta, pangkat, kuasa malah insan yang kita sayang akan meninggalkan kita apabila tiba masanya.

Semua itu adalah pinjaman. Bak kata Shuib Sepahtu, ‘Allah hanya pinjamkan dia Siti Sarah selama 11 tahun’. Ada pula orang yang semalam menteri, hari ini tidak lagi.

Semalam diiringi, hari ini jalan sendiri-sendiri. Semalam bergaji, hari ini belum tahu lagi.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan, kerajaan PN lebih singkat lagi iaitu hanya 17 bulan. Ada yang jadi timbalan perdana menteri cuma 40 hari, yang jadi penasihat perdana menteri pula 11 hari sahaja.

Namun begitu, walaupun kuasa dan pangkat itu hanya sementara, biarlah ia kekal sehingga tempohnya berakhir, bukannya dipaksa berhenti di tengah jalan.

Merak Jalanan berharap apabila perdana menteri baharu dilantik nanti, tiada lagi ahli Parlimen yang ikut perangai ketam dalam bakul yang kerjanya jatuh-menjatuh sehingga satu negara menerima akibatnya.