Tiada usahasama doula, fasiliti di Jabatan Kesihatan Johor

Paparan tular di Facebook.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan negeri menegaskan pihaknya tiada usahasama dengan mana-mana organisasi atau individu yang berkaitan dengan perkhidmatan doula.

Ini berikutan tular di aplikasi Whatsapp pada 27 Februari lalu apabila seorang pengguna Facebook menyatakan seolah-olah jabatan berkenaan berurusan dengan perkhidmatan doula tanpa masalah.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahudden Abd Aziz berkata, perkhidmatan doula tidak pernah diiktiraf jabatan di negeri ini dan di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Sehingga kini, Jabatan Kesihatan negeri juga tidak pernah menerima sebarang permohonan dari mana-mana organisasi untuk mendapatkan pandangan atau kelulusan bagi menguruskan perkhidmatan doula.

"Di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, penglibatan individu yang tidak berdaftar mahupun bertauliah (di bawah Akta yang berkaitan) di dalam pengurusan jagaan ibu mengandung dan proses kelahiran bayi adalah menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang jalankan amalan perbidanan tanpa pendaftaran di bawah Akta tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

"Kami menggesa mana-mana organisasi atau individu yang berkaitan dengan perkhidmatan doula untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi seolah-olah perkhidmatan doula mempunyai jalinan bekerjasama dengan fasiliti kesihatan di Jabatan Kesihatan negeri ini.

"Kita juga menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin dan hasutan tersebut," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia