Laksana Perhimpunan Rakyat Malaysia, jangan sekadar lantik PM baharu

Nazir Razak
Nazir Razak
A
A
A

DALAM beberapa hari akan datang, Malaysia akan menyaksikan istiadat angkat sumpah Perdana Menteri ke-9 dan beberapa hari atau mungkin beberapa minggu kemudian istiadat bagi Kabinet menteri baharu pula.

Mereka seakan menikmati bulan madu kerana dalam tempoh ini pandemik Covid-19 seharusnya mula reda berdasarkan kadar vaksinasi kita yang kini antara yang tertinggi di dunia dan jumlah orang yang dijangkit yang sudah pun tinggi. Maka kerajaan baharu akan mula mentadbir Malaysia seperti biasa.

Adakah mereka akan terbukti berbeza dengan kerajaan sebelum ini? Atau adakah mereka akan mengecewakan rakyat sekali lagi? Jika dikecewakan, rakyat Malaysia akan menuju PRU15 dengan harapan kerajaaan baik yang sangat diperlukan akan dilantik.

Tetapi adakah ini akan berlaku jika sistem pemilihan tidak berubah (walaupun dengan penambahan undian daripada kalangan yang berusia 18 hingga 20 tahun)? Mungkinkah keadaan akan kembali seperti sekarang?

Kita berada dalam sistem di mana tiada satu parti atau gabungan mempunyai majoriti yang teguh untuk memerintah dengan lancar. Rundingan dibuat bukan berdasarkan pertukaran dasar tetapi melalui jamuan durian (nampaknya nama samaran untuk politik wang) dan jawatan.

Pengaruh perdana menteri dalam sistem ini begitu kuat. Perdana Menteri, ketika ini, boleh menyalahgunakan hak penguatkuasaan untuk keuntungannya. Sistem ini juga menyebabkan mereka yang ikhlas menyertai politik berubah menjadi rakus untuk terus mengekalkan kedudukan mereka.

Rombakan dasar yang tidak kena dengan selera dicemuh dengan tuduhan agenda perkauman untuk menghalang implementasinya. Sistem ini bukanlah suatu sistem ekonomi tetapi hanya 'ekonomi politik'; di mana setiap perniagaan nampaknya bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan lesen, permit, kontrak, kawal selia atau hak pemilikan atau memberi jalan masuk untuk syarikat berkaitan kerajaan.

Hasilnya, bakat terbaik kita tidak ingin bekerja di sini tapi mahu bekerja di luar negara dan ini akan merugikan negara kerana kita semua tahu bahawa dalam revolusi Industri ke-4 ini keusahawanan dan inovasi yang mendorong kejayaan.

Artikel Berkaitan:

Kelemahan sistem ini juga terserlah akibat pandemik di mana jaring keselamatan sosial kita didapati ada kekurangan.

Apa yang kita perlukan adalah penentukuran nasional, serta rombakan semula dari segi demokrasi, institusi dan sosio-ekonomi negara. Ini bukanlah pertama kali kerana kita pernah melakukannya selepas 13 Mei 1969 apabila kita mewarisi sistem Westminster yang terbukti tidak berjaya pada PRU ke-3.

Para pemimpin kita menyedari bahawa sistem yang diwarisi oleh pihak British tidak boleh digunakan untuk rakyat yang berbilang kaum, asal usul dan sejarah yang unik.

Majlis Perundingan Nasional (MAPEN) yang terdiri daripada 67 individu, pakar dan pemimpin kaum telah membahaskan perundingan antara kaum untuk mencapai sistem baharu, yang saya namakan Malaysia 2.0.

Dasar Ekonomi Baharu, undang-undang hasutan baharu, Rukun Negara dan pertubuhan kerajaan Barisan Nasional merupakan rombakan nasional pada masa itu dengan harapan untuk membawa kestabilan politik dan memacu ekonomi untuk mengukuhkan perpaduan sosial.

Pemimpin-pemimpin kita percaya bahawa sistem tersebut akan berjaya tetapi mereka juga sedar bahawa ia tidak dapat kekal selama-lamanya, ia tentu perlu diperbaiki dan mungkin juga perlu dibina semula. Dasar Ekonomi Baru pun diberi tempoh implementasi selama 20 tahun oleh mereka.

Sistem baharu ini membawa kestabilan politik, perkembangan ekonomi, pengurangan kadar kemiskinan dan keseimbangan jurang kekayaan antara kaum tetapi juga membawa kesan negatif seperti rasuah, ketegangan perkauman dan penumpuan kuasa.

Pada tahun 1990, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dipanjangkan walaupun dijenamakan semula dan aspek-aspek sistem yang lain terus kekal. Semakin lama ia berlanjutan semakin bertambah kesan negatif yang melebihi kebaikannya.

Sistem ini juga telah menjadi kalis kepada sebarang perubahan: Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir (zaman PH), semuanya menjanjikan pembaharuan besar pada mulanya tetapi kebanyakannya gagal untuk mengatasi kepentingan peribadi dan wakil-wakil rakyat yang lebih mementingkan keinginan parti mereka dan pilihan raya seterusnya.

Bukan kita sahaja yang kecewa dengan politik dan ahli-ahli politik.

Dalam era yang mana pengundi di seluruh dunia semakin jelak dengan demokrasi representatif, ramai tertarik kepada 'demokrasi perundingan' di mana medan baharu ditubuhkan dan diperdebatkan oleh rakyat, cerdik-pandai dan pemimpin kaum untuk menangani masalah sistemik jangka panjang yang tidak boleh dikendalikan oleh Parlimen dan ahli-ahli politik.

Medan ini kemudian mendapat pengesyoran dan diajukan kepada Parlimen dan/atau referendum oleh rakyat. Kini terdapat banyak contoh yang berjaya untuk medan perundingan seperti Ireland’s Citizens’ Assembly yang akhirnya telah menyelesaikan isu hak autonomi badan wanita dan lain-lain, serta Obsevatorio de la Cuidad di Madrid dan Ostbeljien di timur Belgium yang merupakan perhimpunan warga tetap.

Dalam banyak cara, MAPEN mendahului zaman, satu inovasi yang kita boleh rujuk kembali untuk mencari jalan yang lebih baik untuk masa depan.

Zaman telah pun berubah dan kita seharusnya tidak perlu meniru bulat-bulat apa yang dilakukan pada tahun 1970 ketika semuanya diterajui oleh Tun Razak sebagai ketua Majlis Gerakan Negara.

Hari ini kita perlukan proses yang lebih konsultatif, inklusif dan tidak elitis. Kita juga harus menerapkan agenda dalam majlis - yang kita namakan 'Perhimpunan Rakyat' atau 'Better Malaysia Assembly (BMA)'.

Untuk menekankan peri pentingnya badan ini dan mandatnya, ia harus dibentuk di bawah naungan Majlis Raja-Raja dengan perintah bahawa segala cadangan harus diserahkan kepada Parlimen dan / atau referendum.

Pembentukan badan tersebut haruslah berdasarkan suatu proses, dengan kombinasi individu yang dicalonkan oleh Parlimen, golongan eksekutif dan masyarakat awam.

Sebaik-baiknya setiap rakyat Malaysia dapat melihat satu atau lebih banyak ahli badan tersebut sebagai seorang yang diyakini dan boleh dipercayai.

Kemudian senarai akhir harus dipersetujui oleh pemimpin kerajaan dan pembangkang; sebarang perselisihan harus diselesaikan oleh Majlis Raja-Raja dengan muktamad.

Perhimpunan Rakyat yang dicadangkan ini tidak dapat menyelesaikan semua masalah yang kita hadapi, tetapi ia akan menjadi asas yang kukuh untuk kita maju ke hadapan.

Perhimpunan ini perlu menitikberatkan isu-isu sistemik yang penting, bermula daripada penegasan semula atau sebaliknya definisi erti kenegaraan seperti sistem politik dan pentadbiran, serta maksud tersirat kontrak sosial yang merangkumi bahasa, tindakan afirmatif dan pendidikan.

Malah, tempoh masa boleh ditentukan untuk perubahan asas seperti tindakan afirmatif dan sistem pendidikan.

Berdasarkan definisi-definisi tersebut serta tempoh masa yang dipersetujui, langkah-langkah seperti perombakan institusi, perundangan dan dasar negara boleh dilakar dengan tumpuan kepada sistem pilihan raya, pendanaan politik, pembanterasan rasuah, hubungan persekutuan dan negeri, peranan kerajaan dalam ekonomi dan sebagainya.

Semasa saya membuat penyelidikan dalam subjek penentukuran semula negara (atau ‘national reset’) di Blavatnik School of Government, University of Oxford pada tahun 2019, saya telah dimaklumkan bahawa penentukuran semula negara hanya berlaku apabila wujudnya krisis yang teruk.

Saya tetap dengan pandangan saya bahawa penentukuran semula negara perlu diimplementasi secepat mungkin kerana melanjutkan sistem yang bermasalah mempunyai akibat yang sangat buruk. Malaysia bukanlah negara yang gagal, tetapi ya, kita memang dalam keadaan yang kian merosot.

Selepas saya pulang dari Oxford, saya berganding bahu dengan Datuk Dr Anis Yusal dari Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menemubual lebih 200 individu dari semua lapisan masyarakat Malaysia berkenaan pendapat mereka tentang apa yang perlu diperbaharui oleh negara kita.

Ironinya, sebaik sahaja penyelidikan saya siap, negara kita dilanda pandemik yang telah meragut lebih ramai nyawa berbanding dengan insiden 13 Mei. Kita sedang melalui krisis yang telah mendedahkan kekurangan yang serius dalam sistem kita.

Dalam masa kurang dari tiga tahun sahaja, kita telah menyaksikan pentadbiran tiga perdana menteri dan gabungan kerajaan - adakah pelantikan perdana menteri yang keempat dalam jurang masa pendek ini akan menjadikan situasi kita bertambah baik? Ada kemungkinannya, tetapi adakah langkah untuk melantik Perdana Menteri baharu mencukupi untuk mengatasi kemerosotan negara kita? Saya rasa tidak.

Sebab itulah saya mencadangkan, selain melantik perdana menteri dan kabinet baharu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membangunkan inisiatif Perhimpunan Rakyat untuk memulakan proses pembaharuan semula negara kerana rakyat Malaysia berhak dan boleh beralih ke arah Malaysia yang lebih baik.

* Datuk Seri Nazir Razak ialah Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).