22 individu makan di restoran dikompaun

Antara pelanggan yang menikmati makanan di dalam sebuah restoran di Sungai Way dikompaun pada Isnin.
Antara pelanggan yang menikmati makanan di dalam sebuah restoran di Sungai Way dikompaun pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 22 individu yang menikmati makanan di dalam sebuah restoran di Sungai Way di sini dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat serbuan di restoran tersebut pada jam 7.45 malam.

"Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut mendapati seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pengurus restoran itu telah mengemukakan lesen penyediaan makanan yang telah tamat tempoh pada Jun lalu.

"Malah, dia juga gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras bagi tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebanyak 10 botol minuman keras pelbagai jenama telah dirampas.

"Semasa serbuan dijalankan, terdapat 22 pelanggan terdiri daripada 15 lelaki dan tujuh wanita warga tempatan berusia 21 hingga 42 tahun sedang menikmati makanan di dalam restoran tersebut," katanya.

Beliau berkata, modus operandi restoran tersebut adalah dengan menutup pintu hadapan dan membenarkan pelanggan masuk untuk ‘dine-in’ melalui pintu belakang restoran.

"Pengurus restoran telah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Artikel Berkaitan:

"22 pelanggannya pula dikompaun sebanyak RM2,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) akta yang sama," katanya.