Annuar Musa calonkan pemimpin paling kanan BN sebagai PM

Tan Sri Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa akan mencadangkan seorang pemimpin paling kanan BN sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau berharap agar hasratnya itu disokong oleh rakan-rakan ahli Parlimen pelbagai parti yang lain.

"Saya baharu terima surat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengarahkan ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calon Perdana Menteri kesembilan untuk dipersembahkan ke hadapan Yang di-Pertuan Agong

"Saya akan tunaikan tanggungjawab saya. Setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya serta kawan-kawan dari parti sahabat, yang pasti saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Annuar yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, waktu ini menjadi masa sesuai kepada semua ahli Parlimen setiap parti untuk melupakan segala krisis yang telah berlaku.

"Ini masanya kita lupakan yang lalu, pandang ke hadapan dengan perkasakan semula perpaduan parti serta perkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, kaum bumiputera serta rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

"Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Kepada ALLAH kita berserah. Daulat Tuanku," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen perlu beri nama calon PM sebelum jam 4 petang esok

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan semua ahli Parlimen diberi masa sehingga jam 4 petang Rabu untuk menyatakan satu nama pilihan sebagai Perdana Menteri baharu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi berkongsi sepucuk surat bertarikh 17 Ogos 2021 ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan memilih calon Perdana Menteri yang kesembilan.