Ahli Parlimen perlu beri nama calon PM sebelum jam 4 petang esok

Surat berlogo Parlimen Malaysia ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan memilih calon Perdana Menteri yang kesembilan.
Surat berlogo Parlimen Malaysia ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta semua Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan memilih calon Perdana Menteri yang kesembilan.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen diberi masa sehingga jam 4 petang esok untuk menyatakan satu nama pilihan sebagai Perdana Menteri baharu.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau pada Selasa.

Menerusi hantaran itu, beliau berkongsi sepucuk surat yang meminta semua Ahli Dewan Rakyat membuat surat akuan memilih calon Perdana Menteri yang kesembilan.

Surat berlogo Parlimen Malaysia tersebut ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam surat itu, Azhar berkata, Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Pada melaksanakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.

"Walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran (yang diperlukan).

Katanya, butiran itu adalah indentifikasi ahli Yang Berhormat yang secukupnya, identifikasi yang secukupnya seorang sahaja Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat dan penyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Artikel Berkaitan:

Ia juga perlu mempunyai tandatangan Yang Berhormat, tandatangan serta cop rasmi saksi, sama ada seorang peguambela dan peguamcara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara dan tarikh surat akuan.

"Surat akuan Yang Berhormat hendaklah diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya pada Rabu, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4 petang untuk perhatian Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Menurut Azhar, surat itu boleh diserahkan menerusi faks, e-mel atau salinan PDF yang perlu dihantar ke aplikasi WhatsApp ke nombor yang turut diberikan.

Katanya, serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dan juga untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di Istana Negara.

"Perlu dijelaskan, mana-mana akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas mahupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.

"Ahli-ahli Yang Berhormat diingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara itu (pelantikan Perdana Menteri baharu)," katanya.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Ekoran itu, semua ketua-ketua parti atau wakil turut dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.