Maut ditembak rakan ketika berburu

Senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dirampas berikutan insiden tertembak rakan di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan pada Ahad.
Senjata api buatan sendiri jenis bakakuk yang dirampas berikutan insiden tertembak rakan di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan pada Ahad.
A
A
A

KENINGAU - Seorang lelaki maut dipercayai ditembak rakan sendiri ketika melakukan memburu di kawasan kebun Kampung Sunsuron, Tambunan pada Ahad.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu meninggal dunia di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tembakan pada badan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa dan rakannya yang juga suspek berusia 25 tahun melakukan aktiviti berburu di kawasan terbabit.

"Suspek telah tertembak mangsa ketika memburu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan.

"Mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tembakan dan dibawa ke Hospital Tambunan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, pada hari sama, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau memberkas seorang suspek lelaki tempatan.

"Polis merampas satu laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk, satu butir kelongsong peluru dan pakaian suspek yang digunakan dalam kejadian itu.

"Hasil semakan mendapati suspek adalah penganggur yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahrudin berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bagi tujuan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.