Agong jumpa ketua, wakil parti di Istana Negara esok

Semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Semua ketua-ketua parti atau wakil telah dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.

Difahamkan pertemuan itu akan diadakan pada jam 2 petang di Istana Negara.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Menurut seorang ahli Parlimen yang enggan dikenali, terdapat kemungkinan Seri Paduka Baginda mahu mendapatkan pandangan daripada semua ketua-ketua parti.

"Ya, saya mengesahkan memang ketua-ketua parti sudah menerima titah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak tidak tahu tentang apa tetapi mungkin Tuanku mahu mengetahui pandangan setiap parti-parti selepas Muhyiddin letak jawatan.

"Kemungkinan ini adalah sebahagian proses untuk melantik seorang perdana menteri baharu," katanya pada malam Isnin.

Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, beberapa parti politik mula menjalankan mesyuarat khas bagi menentukan hala tuju masing-masing termasuk menamakan calon perdana menteri yang baharu.