Perangi, banteras najis dadah: AADK

Zulkifli (dua, kanan) menerima replika cek daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani (tiga, kiri) pada Perhimpunan Aspirasi Negeri Sembilan Bebas Dadah di AADK Daerah Port Dickson, hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (dua, kanan) menerima replika cek daripada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani (tiga, kiri) pada Perhimpunan Aspirasi Negeri Sembilan Bebas Dadah di AADK Daerah Port Dickson, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Tahap kesedaran dan perasaan tanggungjawab dalam kalangan komuniti di negara ini dalam memerangi najis dadah perlu diperkasa bagi membolehkan musuh nombor satu negara itu dibanteras daripada terus membelenggu rakyat di negara ini.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, adalah penting bagi komuniti di negara ini untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama AADK bagi memerangi najis dadah dalam kalangan komuniti mereka sendiri.

Justeru, katanya AADK kini sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti memperkasa komuniti ke arah itu, terbaharu Program Kembara Antidadah 2019 melibatkan kira-kira 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi menjelajah negeri ini selama dua hari bagi menerangkan tentang penyalahgunaan dadah.

"Apa yang penting juga dalam program ini kita mahu berjumpa dengan mereka yang telah dipulihkan serta memberi semangat kepada mereka untuk terus berjaya keluar dari belenggu itu supaya mereka tidak lagi terjebak dan menagih semula dan perkara ini perlu dielakkan.

Pihak kita juga mahu berkongsi pengetahuan dan memberi pendidikan kepada pelajar sekolah agar mereka ini menjauhi najis dadah dalam usaha membendung dan mencegah golongan muda terjebak daripada gejala tersebut," katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Program Pemerkasaan Masyarakat kawasan Masjid Tanah di Pusat Konservasi Penyu Padang Kemunting, Pengkalan Balak di sini.

Turut hadir Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh; Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A Asmadi Abdul Aziz dan Timbalan Pengarah Perikanan Melaka Doreen Wee Siew Leen.

Program Kembara Antidadah Negeri Melaka 2019 itu bersempena bulan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan tahun ini melibatkan persinggahan konvoi ke beberapa tempat di Melaka termasuk di kawasan berisiko tinggi aktiviti penagihan bagi menyampaikan mesej antidadah kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Pada program Pemerkasaan Masyarakat kawasan Masjid Tanah di pusat konservasi itu turut diadakan aktiviti bertemu masyarakat serta gotong-royong bersama pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Konvoi itu seterusnya mengadakan tinjauan mesra antidadah di Bangunan Stadthuys Bandar Hilir dan berakhir esok di Akademi Penerbangan Malaysia (MFA), Batu Berendam dengan Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah. - Bernama