Pengusaha kedai cuci kereta tarik nafas lega

A
A
A

SEREMBAN - Kedai cuci kereta antara 11 aktiviti ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin.

Kebenaran itu ternyata memberi kelegaan dan nafas baharu buat salah seorang pengusaha kedai cuci kereta, Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali, 41, setelah hampir dua bulan premisnya ditutup.

Syed Ahmad Zulkarnain
Syed Ahmad Zulkarnain

Bagaimanapun ujarnya, premis itu tidak dapat dibuka pada kadar segera ekoran berdepan dengan beberapa kekangan antaranya ketiadaan pekerja selain perlu membersihkan premisnya sebelum menerima pelanggan.

"Dijangka dalam tempoh seminggu selepas dibuka, bilangan kenderaan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan mencuci kereta akan meningkat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Syed Car Wash & Outo Detailing, Sungai Landak, Ampangan pada Ahad.

Jelas Syed Ahmad Zulkarnain, premisnya turut menyediakan perkhidmatan semburan sanitasi bahagian dalam kenderaan bagi tujuan membasmi kuman pada harga RM10 sahaja.

"Dalam tempoh pandemik, selain cuci di bahagian dalam dan luar kenderaan pelanggan juga digalakkan untuk mensanitasi kereta sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan jangkitan.

"Selain mencuci, orang ramai juga boleh ‘mencantikkan' kenderaan mereka dengan perkhidmatan melapis, menggilap dan melilin, membersih bahagian dalam kenderaan serta membasuh karpet," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi pengusaha kedai cuci kereta dari Bahau,Jempol, Redha Carwash, Mohd Redza Mohd Fahmi, 31, turut melahirkan rasa lega apabila premis berkenaan dibenarkan beroperasi.

Syed Ahmad Zulkarnain membersihkan premisnya sebelum beroperasi sepenuhnya.
Syed Ahmad Zulkarnain membersihkan premisnya sebelum beroperasi sepenuhnya.

"Kedai kami akan mula beroperasi pada Selasa susulan perlu mengemas dan membersihkan kawasan selain menggantikan khemah yang sudah rosak.

"Pekerja saya juga melahirkan rasa syukur kerana kembali boleh bekerja kerana ada antara mereka bergantung kepada pekerjaan ini untuk menyara keluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Ahad, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran dengan membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi kembali beroperasi di dalam Fasa 1 PPN berkuatkuasa Isnin kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, ia melibatkan kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Selain itu, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas, kedai gunting rambut dan pusat atau salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) juga dibenarkan beroperasi.