Rakyat semakin gila akibat Covid-19, ahli politik gila berpolitiking

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan yakin ramai susah hati dengan drama politik di negara ini yang masih belum berakhir. Sudahlah politik tidak stabil, kes Covid-19 juga naik mencanak-canak.

Orang politik ini tak kesian dengan rakyat ke? Tak habis-habis berbalah demi kuasa. Rakyat makin susah.

Ramai yang hilang kerja. Rakyat sedang menderita dan gila dek Covid-19.

Tak cukup makan pun ramai sampai terpaksa kibar bendera putih. Tapi Merak Jalanan lihat ahli politik masih bertelagah, seolah-olah tidak hiraukan keperitan hidup rakyat.

Kerajaan sedia ada hendak ditumbangkan, pemimpin yang sedang mentadbir hendak dijatuhkan.

Kalau tengok dalam media sosial, rakyat semakin berani kecam orang politik dan pemimpin. Tentulah mereka marah sebab mereka dalam keadaan susah.

Tolonglah, rakyat dah semakin cemuih. Orang politik kena la faham.

Rakyat penat berdepan tekanan ekonomi dan dibelenggu Covid-19, tetapi ahli politik tak habis-habis nak kumpul sokongan.

Artikel Berkaitan:

Ada pula tak habis-habis nak jadi Perdana Menteri.

Sepatutnya dalam keadaan yang tidak menentu sekarang, kena sama-sama bantu kerajaan. Bukannya terus menekan kerajaan.

Betul kerajaan yang ada hari ini bukan terbaik, tapi sekurang-kurangnya bertanggungjawab membantu rakyat.

Alasannya, kerajaan dikatakan gagal menangani pandemik. Setahu Merak Jalanan, tidak ada lagi kerajaan yang benar-benar berjaya mengatasi Covid-19.

Apakah hari ini kita tukar pemerintah, esok kes Covid-19 selesai? Masih banyak negara yang melakukan lockdown.

Dengan gelombang Covid-19 datang silih berganti, sangat tidak adil sekiranya menuduh kerajaan gagal.

Jika asyik menyerang kerajaan, macam mana nak fokus tangani Covid-19? Merak Jalanan setuju benar dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa hanya mereka yang masih gila politiking sahaja menganggap Malaysia sudah gagal menangani wabak Covid-19. Sekarang bukan masanya!