Amanah Johor buat laporan SPRM terhadap Muhyiddin

Aminolhuda (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan SPRM menuntut Perdana Menteri disiasat kerana membuat tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang di Ibu Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Aminolhuda (tiga dari kiri) menunjukkan salinan laporan SPRM menuntut Perdana Menteri disiasat kerana membuat tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang di Ibu Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat tawaran bersifat sogokan kepada pembangkang dalam perutusannya pada Jumaat lalu.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, siasatan terhadap Muhyiddin perlu dilakukan kerana menawarkan imbuhan kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong beliau.

Menurutnya, berdasarkan perutusan Perdana Menteri itu menyatakan dua perkara yang dilihat merupakan satu bentuk suapan.

"Pertama, beliau menyatakan atas semangat kerjasama bipartisan, semua ahli Parlimen akan terima bantuan sama tidak kira parti politik. Bermakna jika sokong beliau akan diberi, jika tidak tak dapat.

"Itu satu bentuk tawaran yang tidak wajar, kerana di peringkat negeri Johor, peruntukan diberi terus kepada semua wakil rakyat tanpa ada apa-apa," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Johor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Mobilisasi Amanah Johor, Onn Jaafar dan Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah Johor, Azam Mektar.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurut Muhyiddin, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

Aminolhuda berkata, perkara kedua apabila Muhyiddin berkata sebagai pengiktirafan kepada pembangkang yang mempunyai jumlah kerusi Dewan Rakyat hampir seimbang, ketua pembangkang akan diberi kedudukan setara dengan seorang menteri kanan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu berkata, cadangan tersebut juga merupakan satu bentuk tawaran kepada ketua pembangkang untuk memberikan sokongan.