X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Kerajaan mahu caj tinggi urus jenazah dihentikan

Ahmad Marzuk Shaary (dua dari kiri) menyampaikan agihan Food Bank daripada YaPEIM kepada salah seorang penerima, Rosmaini Saari, 38, di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah, Kota Bharu pada Ahad.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan memastikan masalah caj tinggi terhadap proses tayammum jenazah Covid-19 yang didakwa dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan akan segera dihentikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIK) dengan mengadakan rundingan secara berterusan.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan MAIK sedang menjalankan siasatan dengan memanggil pihak-pihak terlibat yang didakwa mengenakan caj tinggi dalam pengurusan jenazah Covid-19.

“Sekiranya ada yang mengambil peluang mengenakan caj berlebihan sehingga membebankan waris, perkara ini sememangnya tidak patut dilakukan.

“Ia akan mengundang masalah apabila kena pada mereka yang tidak mampu. Bagaimanapun keadaan ini masih terkawal dan berada dalam tindakan serta pemerhatian kerajaan selain akan ia akan diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu menyampaikan agihan Food Bank daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bernilai RM10,000 kepada 100 ibu bapa murid yang terjejas di sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, pihaknya masih belum mendapat maklumat tepat sama ada wujud kartel pengurusan jenazah di bilik mayat hospital di Kelantan.

“Hal ini disebabkan proses pengurusan jenazah biasanya tidak dilakukan oleh kakitangan hospital atau Unit Forensik sebaliknya dilaksanakan oleh pihak pengurusan daripada luar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan ada dalam kalangan individu yang terpaksa membayar RM1,300 hingga RM1,800 kos tayamum seperti yang diminta oleh pihak pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang disifatkan tidak masuk akal.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!