Warga Malaysia kurung isteri, dua anak kerana takut jangkiti Covid-19

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SONGKHLA - Oleh kerana fobia dengan jangkitan Covid-19 yang melonjak di Thailand, seorang lelaki warga Malaysia bertindak mengurung isteri warga Thailand dan dua anak lelakinya dalam rumah hampir seminggu di Hatyai, Songkhla, Selatan Thailand.

Ketua Polis Hatyai, Pol. Kol. Akrawut Taneerat berkata, lelaki yang berusia 43 tahun dari Kuala Lumpur berada di Hatyai bersama isteri dan dua anak lelaki mereka yang berusia lima dan tujuh tahun sejak penularan pandemik Covid-19 pada Mac tahun lepas.

Beliau berkata, isteri lelaki itu telah membuat laporan polis bahawa suaminya telah mengurung beliau dan dua orang anak mereka selama hampir seminggu dalam rumah kedai dua tingkat yang dihuni mereka.

“Lelaki itu tidak membenarkan isteri dan kedua-dua anaknya keluar rumah dan mula mengunci semua pintu supaya mereka tidak dijangkiti Covid-19.

“Isterinya risau perkara yang tidak diingini berlaku, maka beliau membuat laporan polis hari ini dan berharap polis boleh membantu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Akrawut berkata, lelaki itu dipercayai mengalami gangguan mental telah dipujuk agar mendapatkan rawatan di hospital.

Thailand melaporkan 22,086 kes baharu Covid-19 dan 217 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. Setakat ini, negara ini mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 885,275 dengan 7,343 kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: