Cari punca Covid-19 harus secara saintifik, tidak dipolitikkan: China

 China berpendirian semua usaha mengesan asal usul virus Covid-19 seharusnya dilakukan secara ilmiah oleh saintis serta bebas daripada sebarang gangguan politik demi kesejahteraan manusia sejagat. Gambar hiasan.
China berpendirian semua usaha mengesan asal usul virus Covid-19 seharusnya dilakukan secara ilmiah oleh saintis serta bebas daripada sebarang gangguan politik demi kesejahteraan manusia sejagat. Gambar hiasan.
A
A
A

BEIJING - China berpendirian semua usaha mengesan asal usul virus Covid-19 seharusnya dilakukan secara ilmiah oleh saintis serta bebas daripada sebarang gangguan politik demi kesejahteraan manusia sejagat.

Pendirian China itu dihuraikan Kementerian Luar pada sidang taklimat di Beijing pada Jumaat, dihadiri duta asing di negara ini.

Pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Kesihatan Negara, dan Akademi Sains China turut diundang untuk memberikan taklimat.

Naib Menteri Luar, Ma Zhaoxu berkata, laporan penyelidikan bersama oleh China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membuat kesimpulan dan ia diiktiraf masyarakat antarabangsa khususnya dalam kalangan saintis.

“Oleh itu, laporan berkenaan harus dihormati dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk Sekretariat WHO, di samping menjadi asas bagi meneruskan usaha mengesan asal usul virus,” katanya.

Ma berkata, China akan terus menyokong dan terbabit aktif dalam kerja serta program mencari asal usul virus secara saintifik.

Katanya, China menentang gangguan politik dalam pencarian atau sebarang tindakan yang bercanggah dengan resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA).

Sementara itu, Ma menegaskan bahawa WHO dikendalikan oleh negara anggota, maka kerja pencarian asal urus virus juga harus diketuai oleh negara anggotanya.

Artikel Berkaitan:

“Sekretariat WHO harus membincangkan butiran berkaitan dengan negara anggota, menghormati pandangan mereka, khususnya berunding dengan negara anggota serta bersama-sama menyusun pelan tindakan,” katanya. - Bernama