X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

PM, Hadi bincang pasal kerja, politik

Laporan Sinar Harian mengenai pertemuan Muhyiddin dan Abdul Hadi di Rusila pada Khamis.
A
A

KUALA TERENGGANU – Perkembangan politik semasa turut disentuh dalam pertemuan di antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediaman Presiden Pas itu di Rusila, Marang pada Khamis.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun tidak menyebut secara jelas butiran perbincangan mengenai politik antara kedua-dua pemimpin parti yang berlangsung lebih sejam itu.

“Kita berada dalam suasana politik dan kalau sebut pasal politik, soalan wartawan hari ini pun politik walaupun asalnya kita mahu bercerita mengenai air.

“Apabila sebut politik, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) semua itu politik,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada pertemuan itu turut menyentuh soal politik dan PN pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin jumpa Abdul Hadi

Menurut Ahmad Samsuri, banyak perkara dibincangkan sepanjang perjumpaan tersebut berlangsung antaranya beberapa pandangan baharu berkaitan kedudukan pelaburan Malaysia di Timur Tengah kerana Abdul Hadi berperanan sebagai Duta Khas di sana.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, Abdul Hadi ada bertemu dengan duta-duta khas dari Timur Tengah dan perkembangan itu turut dimaklumkan secara terus kepada Perdana Menteri.

“Mungkin kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya sebelum ini tidak ada kesempatan. Jadi ini diambil peluang oleh tuan guru (Abdul Hadi) untuk mengutarakan pandangan mengenai hal yang berkaitan.

“Pada saya, walaupun Perdana Menteri sebut kunjungi tuan guru tapi ia sebahagian daripada kerja dan tugas Perdana Menteri serta tugas tuan guru sendiri,” katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi Awang.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tiba di kediaman Abdul Hadi di Rusila, Marang pada jam 5 petang diiringi Ahmad Samsuri.

Ketibaan mereka disambut anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!