X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Krisis air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus pulih sepenuhnya esok

Ahmad Samsuri (tengah) pada sidang akhbar di tangki air Bukit Berangan, Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A

KUALA TERENGGANU – Selepas 12 hari berdepan dengan gangguan bekalan air, penduduk di kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mampu menarik nafas lega apabila masalah itu selesai dua hari lebih awal berbanding jangkaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bekalan air kepada 28,700 akaun pengguna terjejas mula disalurkan pada jam 12 tengahari Jumaat secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada Sabtu.

“Alhamdulillah hari ini kerja-kerja pembaikian dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual baki kerja baik pulih paip pecah Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu,” katanya kepada pemberita di tangki air Bukit Berangan, di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 penyelam gadai nyawa baiki paip rosak dasar sungai

Krisis air dua daerah di Terengganu berlarutan tiga hari lagi

Krisis air: Terengganu siasat korek pasir punca paip bocor

Menurut Ahmad Samsuri, bagi memastikan masalah seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang kerajaan akan memperkemas dan menambaik baik beberapa langkah susulan.

Beliau berkata, selain paip ke tangki air Berangan, Terengganu mempunyai 10 lagi jajaran paip yang dibina di dasar sungai dan laut di seluruh negeri antaranya paip ke Pulau Redang, Setiu sepanjang 27 kilometer (km) dan ke Pulau Perhentian, Besut sepanjang 17 km.

“Bagi memastikan orang awam dan penggiat ekonomi mendapat maklum berkaitan kewujudan paip di dasar sungai atau laut, Satu (Syarikat Air Terengganu) akan bekerjasama dengan pihak berwajib membuat penanda bagi memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut.

“Satu juga akan perkemaskan pemeriksaan berkala semua paip terlibat terutamanya yang berada di jajaran dasar sungai atau laut,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti menyedut pasir di kawasan berhampiran yang didakwa sebagai punca kerosakan paip, Ahmad Samsuri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah bertindak menghentikan projek itu buat sementara waktu.

Menurut beliau, aktiviti menyedut pasir itu akan dinilai kembali selepas keputusan siasatan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diperoleh dalam tempoh 30 hari.

“Kerajaan negeri Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu bagi memastikan penghantaran air sampai kepada penduduk yang terlibat sepanjang tempoh krisis air ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!