X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

10 penyelam gadai nyawa baiki paip rosak dasar sungai

Antara penyelam terlatih dari Syarikat Sumai Engineering yang ditugaskan membaiki kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu.- Foto ihsan SATU
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 10 penyelam terlatih bergadai nyawa kerana perlu berdepan pelbagai risiko sepanjang proses membaiki kebocoran paip pada kedudukan 18 meter di dasar Sungai Terengganu.

Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu (SATU), Burhanuddin Helmi [email protected] berkata, keadaan arus deras dan cuaca tidak begitu baik menyukarkan kerja-kerja membaiki kerosakan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) itu.

"Proses pembaikian paip yang merentangi Sungai Terengganu itu kini memasuki fasa kritikal dan sedang giat dilakukan.

"Kita akui kerja-kerja membaiki paip di dasar sungai agak sukar kerana berdepan risiko selain jarak penglihatan yang terhad serta keadaan arus deras.

"Bagaimanapun usaha membaiki kerosakan ini dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan terlatih dari Syarikat Sumai Engineering Sdn Bhd," katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bagi meninjau lokasi kerosakan paip berhampiran Kampung Losing Feri, di sini pada Sabtu.

Mohd Khairuddin (kiri) meninjau lokasi kerosakan paip berhampiran Kampung Losing Feri, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.
Mohd Khairuddin (kiri) meninjau lokasi kerosakan paip berhampiran Kampung Losing Feri, di Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Burhanuddin menjelaskan antara tugas utama dilakukan buat masa ini ialah pemasangan 'pipe alignment clamp' bagi melancarkan kerja-kerja pembaikian paip yang rosak.

"Selepas proses ini selesai kita jangka usaha membaiki kerosakan paip ini hampir 70 peratus selesai dan kita akan mula memasang air pada tekanan rendah bagi mengesan sekiranya terdapat kerosakan pada bahagian lain," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, krisis bekalan air yang menjejaskan 28,000 akaun pengguna dalam Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lalu dijangka selesai Rabu ini.

Menurutnya, ia berdasarkan proses kerja-kerja pengesanan kerosakan, penyediaan peralatan dan pembaikian yang cepat serta kepakaran yang ada oleh syarikat tempatan.

"Selepas pemasangan 'pipe alignment clamp' selesai, akan ada beberapa proses antaranya mengisi air ke dalam tangki yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk penuh.

"Ia memerlukan masa dan kita harap penduduk terjejas dapat terus bersabar. Bagi penduduk berhampiran loji utama mungkin mendapat bekalan air lebih awal secara berperingkat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu berlarutan tujuh hari lagi


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!