Kawalan sempadan negara perlu diperketat

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kawalan ketat sempadan negara perlu dilakukan termasuk dengan melaksanakan penilaian risiko terhadap individu yang pulang dari luar negara bagi membendung kemasukan varian Lambda, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, setakat ini, varian itu belum dikesan dan KKM akan mempertingkatkan lagi keupayaan dengan menjalankan jujukan genomik penuh bagi mengesan sebarang varian yang membimbangkan (VOC).

"Banyak lagi mutasi yang akan berlaku dan kita lihat sekarang ini, mutasi berlaku kerana ada jangkitan. Apabila ada jangkitan, virus ini akan masuk ke paru-paru kita dan membiak di dalam paru-paru dan kalau banyak pembiakan berlaku, berkemungkinan mutasi akan berlaku.

"Mutasi yang dikenal pasti sekarang ini yang dimaklumkan adalah Lambda, Epsilon dan sebagainya. Kebimbangan kita ialah mutasi ini menjadi rintangan kepada vaksin yang kita guna pakai. Jadi, setakat ini Alhamdulillah, vaksin yang kita guna pakai masih berkesan dengan varian Delta,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan semasa Covid-19 pada Jumaat yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, individu yang kembali dari luar negara berjaya diurus dan dikawal dengan baik iaitu penilaian risiko akan dibuat ke atas mereka selain memastikan mereka menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

“Kita akan melaksanakan penilaian risiko sebelum membenarkan mereka bercampur dengan komuniti,” katanya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kesiapsiagaan kementerian terhadap varian itu yang baru-baru ini dilaporkan telah berada di Jepun.

Menyentuh mengenai vaksin yang diguna pakai di Malaysia beliau berkata, ia berkesan dalam menangani varian Delta dan ini dibuktikan dengan kejayaan menurunkan bilangan kes kemasukan ke hospital dan kematian di Labuan serta Sarawak.

"Contohnya di Labuan, penularan adalah varian Delta (yang) kita telah kenal pasti melalui kematian dan sebagainya tetapi dengan menggunakan 90 peratus vaksin Pfizer dan 10 peratus Sinovac, kita dapat kawal dengan baik.

Artikel Berkaitan:


"Begitu juga di Sarawak, jangkitan juga dikenal pasti oleh UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak ) yang menjalankan jujukan genomik penuh mengesahkan ia varian Delta tetapi kita menggunakan vaksin Sinovac dan ia berkesan menurunkan kes kemasukan ke hospital, menurunkan kes kemasukan ke ICU (unit rawatan rapi), penggunaan alat bantuan penafasan dan kematian,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memberitahu, vaksinasi sahaja tidak memadai untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 dan ia perlu disertai dengan tindakan kesihatan awam serta kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kepada rakyat Malaysia, tolong duduk di rumah dan kalau terpaksa keluar rumah, pastikan kita patuh kepada seluruh SOP yang telah dikemukakan KMM, pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal, elakkan tempat yang sesak dan sempit.

"Dengan kaedah itu, jangan kita lupa kita pernah berjaya menurunkan kes sehingga kosong tanpa vaksin suatu masa dahulu. Inilah kaedah kita untuk memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dan kini kita ada tambahan iaitu vaksin. Jadi dengan dua-dua kaedah ini, kita boleh memutuskan jangkitan Covid-19,” katanya.

Merujuk kepada negara yang sebelum ini berjaya mengawal penularan Covid-19 melalui penggunaan vaksin meliputi sehingga 85 peratus rakyatnya, beliau berkata tindakan seterusnya yang diambil ialah melonggarkan pematuhan kepada SOP untuk kembali hidup seperti normal, dan ini menyebabkan kes Covid-19 meningkat terutama menerusi varian Delta.

"Jadi kita kena belajar daripada negara-negara tersebut supaya kita amalkan kedua-dua kaedah iaitu kesihatan awam dan vaksinasi,” katanya.