Sila log masuk terlebih dahulu.

Perkukuh kerjasama awam-swasta dalam sistem penjagaan kesihatan: APHM

Dr Kuljit Singh
Dr Kuljit Singh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama awam dan swasta dalam sistem penjagaan kesihatan negara perlu diperkukuh sebagai persediaan masa depan termasuk dalam usaha menangani kemungkinan berulangnya pandemik.

Menjadikan pandemik Covid-19 sebagai contoh, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysa (APHM), Dr Kuljit Singh berkata, hospital swasta berkemampuan membantu kerajaan terutamanya dalam proses melakukan saringan terhadap pesakit atau memindahkan sebahagian pesakit bukan Covid-19.

“Tiada gunanya kerajaan terus membina banyak kemudahan sedangkan terdapat banyak fasiliti di sektor swasta. Misalnya di Lembah Klang, terdapat lebih banyak hospital swasta berbanding hospital awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum bertajuk ‘Apa Yang Perlu Dilakukan Sistem Kesihatan Dalam Persediaan Menghadapi Pandemik Seterusnya” sempena Seminar Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Dr Kuljit berkata, lebih banyak perbincangan perlu dilakukan agar lebih ramai pihak bersetuju dalam mengenakan bil dan yuran rawatan yang lebih realistik termasuklah kos yang sesuai bagi membolehkan hospital swasta terus beroperasi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, kerjasama awam-swasta sepatutnya bermula sejak awal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau menjelaskan, saringan dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan berjalan lebih pantas dan mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

“Terdapat lebih 6,000 pengamal perubatan umum (GP) dan 20,000 graduan perubatan di seluruh negara yang boleh membantu kerajaan menangani pandemik ini,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan seminar dua hari itu yang dianjurkan Institut Strategik KSI untuk Asia Pacifik (KSI) bertemakan Memangkin Transformasi Sistem Kesihatan ketika Pandemik - Cabaran dan Peluang (Accelerating the Transformation of Health Systems in a Pandemic - Challenges & Opportunities). - Bernama