Tiada ahli Parlimen PH sokong PN: Anwar

Anwar pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson pada Jumaat.
Anwar pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan di Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin tiada ahli Parlimen daripada PH yang akan memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelang usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September nanti.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perkara tersebut tidak berbangkit, malah semua ahli Parlimen PH bersetuju sebulat suara hanya akan kemukakan calon yang telah ditetapkan daripada PH.

"Kita tetap dengan pendirian kemukakan calon daripada PH kerana kita adalah kelompok besar, tidak bangkit soal akan ada beri sokongan kepada calon-calon lain," katanya ketika ditemui pada program penyampaian bakul makanan kepada penduduk terkesan di Port Dickson pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat ahli Parlimen daripada PH yang akan memberi sokongan kepada kerajaan PN menjelang usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Tambah Anwar, sehingga kini pihaknya belum lagi menerima surat pemakluman berkenaan persidangan Parlimen, yang dijangka diadakan pada September ini.

Dalam pada itu, Anwar turut memberitahu pendirian Majlis Presiden mengenai sokongan dirinya sebagai Perdana Menteri adalah semata-mata untuk mengelakkan kekeliruan dan khabar angin mengenai cadangan calon nama lain.

Katanya, ada khabar angin yang cuba membuat rundingan mencalonkan nama lain, tetapi pendirian PH adalah satu nama sahaja.

Artikel Berkaitan: