PRN Melaka: Pengundi pilih calon, logo atau ikut keluarga?

MELAKA - Memasuki hari kelapan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebahagian pengundi dilihat sudah mempunyai pilihan tersendiri mengenai calon yang bakal diberikan mandat pada 14 November ini.
Tinjauan Sinar Harian bagi mendapatkan pandangan pengundi mendapati, faktor prestasi dan kebolehan calon menyelesaikan masalah rakyat menjadi antara pertimbangan utama, selain kecenderungan terhadap parti serta pengaruh keluarga.
Seorang pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Othman Abdul Ghani, 67, berkata, beliau sudah mempunyai calon pilihan berdasarkan prestasi wakil rakyat yang disifatkannya menunjukkan kemampuan menjalankan tugas dengan baik.
Pesara kerajaan itu berkata, beliau lebih mengutamakan calon yang boleh dipercayai, mudah didekati dan sentiasa mengambil tindakan terhadap aduan penduduk.
"Pada saya, calon yang dipilih mestilah boleh dipercayai dan mampu membawa suara penduduk.
"Setakat ini, saya berpuas hati kerana banyak perubahan dilakukan di kawasan ini sepanjang tiga penggal, walaupun masih ada beberapa masalah berbangkit yang perlu ditangani," katanya ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, pengundi muda, Muhammad Hafiz Juhair Azizan, 19, yang bakal mengundi buat kali pertama berkata, kecenderungan keluarganya terhadap sesebuah parti turut mempengaruhi pilihan politiknya.
Pelajar institusi pengajian tinggi itu berkata, dia berharap kerajaan yang dibentuk selepas PRN kali ini merupakan sebuah kerajaan bertanggungjawab, stabil dan tidak terlalu berpolitik sepanjang masa.
"Pilihan saya banyak dipengaruhi keluarga kerana mereka juga mengundi parti yang sama.
"Saya mengharapkan kerajaan yang stabil dan pemimpin yang bertanggungjawab serta fokus menjalankan tugas, bukan sepanjang masa berpolitik," katanya.

Bagi pengundi dari Tanjung Bidara, Syazwani Azraai, 36, pula, kebolehan calon melaksanakan tanggungjawab menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan.
Ahli farmasi itu berkata, memandangkan beliau tidak menetap di kawasan berkenaan, pandangan ahli keluarga yang tinggal di situ turut menjadi rujukan dalam menentukan pilihan.
"Pada saya, calon yang dipilih mestilah boleh buat kerja. Saya lebih melihat kepada calon berbanding parti.
"Saya akan mengambil kira pandangan keluarga kerana mereka menetap di kawasan itu dan lebih mengetahui siapa calon yang benar-benar mampu menjalankan tugas," katanya.
Mengulas isu setempat, beliau berpendapat masalah banjir kilat di sekitar Masjid Tanah masih memerlukan perhatian dan penyelesaian berterusan daripada wakil rakyat serta kerajaan negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 November ini sebagai tarikh undi awal PRN Melaka manakala hari pengundian pada 14 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

